Welcome!
Sembang Kopi
Past
Credits!
Template: Nyimas and Ani Basecode: Dilla Eyra Some help: ♥ ♥ ♥ ♥ ♥ |
Thursday, September 20, 2018 September 20, 2018
Persediaan Sebelum Pentaksiran
PERSEDIAAN
SEBELUM PENTAKSIRAN
DITULIS
OLEH : FUDHLA BINTI HARERY
1.0
PENDAHULUAN
Pentaksiran adalah suatu proses yang terdiri daripada pelbagai kaedah sebagai kayu ukur untuk menilai tahap keupayaan dan prestasi pelajar. Menurut Emilia Mustaffa (2017), pentaksiran boleh didefinisikan sebagai proses yang sistematik untuk mengukur dan menilai yang mana ianya melibatkan pengumpulan, menganalisa dan menterjemah proses pelajar belajar terhadap objektif pengajaran. Secara umumnya, pentaksiran boleh terbahagi kepada dua bahagian iaitu pentaksiran secara formatif dan pentaksiran secara sumatif. Kedua-duanya mencakupi penilaian melalui kaedah peperiksaan, kaedah kerja kursus, kaedah kuiz dan lain-lain yang bukan lagi satu perkara baharu dalam bidang pendidikan di Malaysia. Menurut Marlin Abdul Karim (2003) dalam penulisan Mohd Azhar Mat Ali dan Shahrir Jamaludin, kesan washback effect iaitu pembelajaran di dalam bilik darjah yang bermatlamatkan persediaan menghadapi peperiksaan telah menjadi satu budaya pendidikan di negara kita. Sebagai persoalannya, apakah persediaan-persediaan yang sepatutnya diaplikasikan oleh pelajar untuk menghadapi pentaksiran yang telah disediakan?
1.1
PERSEDIAAN SEBELUM PENTAKSIRAN
Antara persediaan yang perlu dilakukan sebelum menghadapi pentaksiran adalah sesi soal jawab di dalam kelas perlulah diperkasakan. Hal ini demikian kerana seperti yang diketahui, sesetengah pelajar memilih bertindak untuk mendiamkan diri mengenai ketidakfahaman mereka kerana berasa malu untuk bertanya. Antara senario lain yang mungkin berlaku pula adalah kurangnya tumpuan pengajar untuk mengajukan soalan kepada pelajar kerana mereka beranggapan pelajar faham sepenuhnya terhadap pengajaran mereka. Justeru itu dalam hal ini pelajar perlulah memberikan cadangan kepada pengajar untuk mengadakan sesi soal jawab atau soalan tutorial sebelum tamatnya waktu kuliah. Antara objektif sesi ini berlangsung adalah untuk mengenal pasti sedalam mana kefahaman pelajar dan mengukuhkannya serta membetulkan mana-mana kefahaman yang kurang tepat. Pengajar juga dapat menghuraikan isi-isi penting dalam sesuatu topik yang perlu ditekankan terutamanya topik yang lazim ditanya dalam peperiksaan akhir.
Seterusnya menurut Mohamad
Azhar Mat Ali dan Shahrir Jamaludin, antara persediaan lain sebelum pentaksiran
yang kurang ditekankan oleh pelajar ialah pentaksiran kendiri dan rakan sebaya.
Pentaksiran tersebut merupakan salah satu cara untuk pelajar menilai tugasan
rakan dan mengenal pasti kelemahan mereka sebelum melalui pentaksiran sebenar
oleh pengajar. Melalui kaedah ini pelajar akan bertukar-tukar pandangan serta
mencetuskan idea baharu sebagai tujuan pembaikan tugasan yang mereka telah
lakukan. Kelebihan pentaksiran rakan sebaya juga akan membuka ruang untuk
pelajar saling membantu dan berdiskusi dalam usaha mendapatkan markah yang
paling optimum semasa ditaksir oleh pensyarah. Oleh itu, sebarang kemusykilan
atau pendapat yang bercanggah bolehlah dikemukakan kepada para pengajar untuk
mengelakkan kegagalan semasa dalam pentaksiran nanti.
Selain itu, para pelajar
juga haruslah sentiasa membiasakan diri untuk membuat ulang kaji sebagai
persediaan sebelum pentaksiran. Hal ini demikian kerana majoriti pelajar
bersikap suka bertangguh untuk mengulang kaji sehingga saat-saat akhir ketibaan
musim pentaksiran. Semasa dalam kelas atau kuliah, para pelajar sepatutnya
cakna untuk mengambil dan membuat nota kerana ia dapat dijadikan sebagai
rujukan tambahan semasa mereka mengulang kaji atau dalam proses menyiapkan
kerja kursus. Sehubungan dengan perkara itu, para pelajar perlulah
mendisiplinkan diri untuk membuat ulangkaji dengan menetapkan jadual belajar
yang tersendiri. Suasana mengulang kaji juga haruslah kondusif seperti tidak
terlalu panas dan tidak pula terlalu selesa seperti di atas katil untuk
mengelakkan tumpuan mudah hilang dan cepat mengantuk. Perpustakaan merupakan
salah satu tempat terbaik untuk mengulang kaji kerana keadaan yang senyap dan
mudah untuk mencari rujukan. Fikiran dan emosi juga perlulah berada dalam
keadaan stabil dan tenang misalnya bukan dalam keadaan lapar atau sedih kerana
ia akan mengganggu konsentrasi semasa mengulang kaji.
Antara persediaan lain sebelum
menghadapi pentaksiran adalah dengan membuat latihan pengukuhan dalam subjek
yang lemah. Para pelajar boleh mengambil insiatif dengan menjawab himpunan
soalan-soalan lepas atau merujuk senior yang berpengalaman kerana kebiasaanya
bentuk soalan lebih kurang sama setiap tahun. Jika terdapat soalan yang tidak
dapat menemui jalan penyelesaian, mereka perlu merujuk kepada rakan atau
pensyarah untuk meminta pendapat mereka. Meninggalkan soalan dengan kosong
bukanlah jalan yang terbaik kerana ia seolah-olah membiasakan mereka untuk
tidak berusaha pada soalan aras tinggi semasa dalam peperiksaan nanti. Semasa
membuat latihan, pelajar perlu melatih diri untuk membuat rangka jawapan
sebelum menulis. Perkara ini penting misalnya untuk mendidik mereka dalam
penulisan esei kerja kursus serta sebagai panduan agar isi yang ditulis nanti
tidak terpesong jauh dari arahan soalan.
1.2 PENUTUP
Kesimpulan
berdasarkan isi di atas, dapat difahami bahawa terdapat pelbagai cara untuk mempersiapkan
diri menghadapi pentaksiran di institusi pengajian. Persis mutiara kata “sediakan payung sebelum hujan,” persediaan
sebelum pentaksiran boleh diibaratkan sebagai satu persiapan diri sebelum kita
dihantar ke medan perang. Justeru itu, para pelajar sangat diharapkan agar
membuat perancangan belajar yang terbaik kerana jika kita gagal untuk
merancang, kita sebenarnya merancang untuk gagal.
|
0 Comments:
Post a Comment