Welcome!
Template: Nyimas and Ani Basecode: Dilla Eyra Some help: ♥ ♥ ♥ ♥ ♥ |
Saturday, September 22, 2018 September 22, 2018
Jenis Pentaksiran
JENIS PENTAKSIRAN
DITULIS OLEH : NURUL NATASHA BINTI KATNI
1.0 PENDAHULUAN
Mengikut pakar dan penulis buku yang
terkenal dalam bidang berkenaan iaitu David Payne dalam bukunya Applied
Educational Assessment Edisi Kedua tahun 2003, pentaksiran ialah integrasi
proses mengumpul maklumat, menginterpretasi maklumat atau memberi nilai kepada
maklumat itu dan membuat keputusan berdasarkan interpretasi yang dibuat ke atas
maklumat. Maka jelaslah bahawa pentaksiran merupakan satu proses untuk menilai
pencapaian pelajar berdasarkan gred yang diberikan. Pentaksiran meilbatkan instrumen, pentaksir,
kumpulan yang ditaksir, respon yang diberikan dan yang paling utama ialah skor.
Pentaksiran bukanlah perkara yang asing kerana telah didedahkan semenjak di
bangku sekolah rendah lagi. Selain untuk
menilai keupayaan pelajar, pentaksiran juga bertujuan untuk mengesan sejauh
mana keberkesanan pengajaran dan pembelajaran guru.
2.0 PENTAKSIRAN FORMATIF
Pentaksiran terdiri daripada dua
jenis iaitu pentaksiran formatif dan pentaksiran sumatif. Pentaksiran formatif ialah pentaksiran yang
dijalankan semasa sesi pembelajaran dan pengajaran secara berterusan. Bagi peringkat Institusi Pendidikan Guru
(IPG), di dalam sesi pembelajaran dan
pengajaran terdapat sesi tutorial. Tutorial ini bertujuan untuk sesi soal jawab
dan latihan selepas sesi penerangan tentang sesuatu topik. Sesi soal jawab atau kuiz ini lah yang
merupakan salah satu pentaksiran formatif. Kuiz ini boleh dilakukan secara
kumpulan mahupun individu. Kebiasaannya
pentaksiran formatif ini tidak memerlukan jangka masa yang lama. Pentaksiran ini
adalah untuk membetulkan kesalahan dan pemahaman pelajar yang salah dengan
kadar segera. Guru hanya ingin mengenal pasti kefahaman pelajar tentang topik
yang telah dibincangkan semasa sesi pengajaran dan pembelajaran tersebut. Pentaksiran ini tidak meletakkan dan
menggredkan pelajar kepada sesuatu nombor mahupun skor.
3.0 PENTAKSIRAN SUMATIF
Pentaksiran
sumatif pula ialah pentaksiran yang dilakukan pada akhir tahun untuk
mendapatkan maklumat tentang pencapaian iaitu keupayaan pelajar terhadap
sesuatu pembelajaran sepanjang tahun.
Pentaksiran sumatif ini termasuklah kerja kursus yang dilaksanakan oleh
para pelajar di IPG. Di peringkat IPG
mereka dinilai oleh dua jenis pentaksiran iaitu projek dan peperiksaan akhir
tahun. 60% markah akhir akan diambil
daripada projek manakala 40% lagi akan diambil dari ujian akhir kursus. Projek
adalah kerja kursus yang terdiri daripada satu set aktiviti. Projek bagi setiap
subjek contohnya kursus Kemahiran Belajar mempunyai tiga tugasan. Para pelajar
dikehendaki untuk menghasilkan penulisan akademik tentang gaya pembelajaran
kendiri dan alat-alat berfikir. Para pelatih guru ini juga perlu membuat
penghasilan produk contohnya seperti blog. Satu artikel bagi setiap individu
perlu dimasukkan ke dalam blog masing masing.
Pentaksiran
sumatif ini juga boleh dilakukan secara berkumpulan mahupun individu.
Membentangkan dan memberi penerangan tentang penghasilan produk pula merupakan
tugasan berkumpulan namun dinilai secara individu. Terdapat banyak lagi contoh
tugasan dalam bentuk kerja kursus dan projek iaitu ulasan kristis, kerja amali,
penganjuran dan kajian mahupun laporan. Pelaksanaan kerja kursus ini bertujuan
untuk meningkatkan daya kreativiti dan inovasi di samping dapat meningkatkan
proses pembelajaran. Ujian akhir kursus lebih tertumpu kepada teori dan
fakta-fakta bagi sesuatu subjek. Ujian akhir kursus ini bersifat lebih formal
kerana perlu dinilai di suatu tempat yang sama dan dalam jangka masa yang
ditetapkan. Ujian ini adalah untuk menguji penguasaan pelajar terhadap kursus
yang dipelajari. Para pelajar hendaklah mematuhi arahan dan prosedur yang telah
ditetapkan.
4.0 PENUTUP
Kesimpulannya, pentaksiran
berperanan penting dalam bukan sahaja
mengukur prestasi pelajar malahan institusi tersebut seperti sekolah, IPG mahupun Institusi Pengajian Tinggi
(IPT). Dengan kewujudan pentaksiran ini
juga dapat menjadi motivasi kepada pelajar untuk belajar dengan lebih
bersungguh-sungguh. Strategi pengajaran guru juga dapat diperbaiki dengan
menganalisis keputusan dan gred pelajar.
Friday, September 21, 2018 September 21, 2018
Ringkasan PSP
Thursday, September 20, 2018 September 20, 2018
Persediaan Sebelum Pentaksiran
PERSEDIAAN
SEBELUM PENTAKSIRAN
DITULIS
OLEH : FUDHLA BINTI HARERY
1.0
PENDAHULUAN
Pentaksiran adalah suatu proses yang terdiri daripada pelbagai kaedah sebagai kayu ukur untuk menilai tahap keupayaan dan prestasi pelajar. Menurut Emilia Mustaffa (2017), pentaksiran boleh didefinisikan sebagai proses yang sistematik untuk mengukur dan menilai yang mana ianya melibatkan pengumpulan, menganalisa dan menterjemah proses pelajar belajar terhadap objektif pengajaran. Secara umumnya, pentaksiran boleh terbahagi kepada dua bahagian iaitu pentaksiran secara formatif dan pentaksiran secara sumatif. Kedua-duanya mencakupi penilaian melalui kaedah peperiksaan, kaedah kerja kursus, kaedah kuiz dan lain-lain yang bukan lagi satu perkara baharu dalam bidang pendidikan di Malaysia. Menurut Marlin Abdul Karim (2003) dalam penulisan Mohd Azhar Mat Ali dan Shahrir Jamaludin, kesan washback effect iaitu pembelajaran di dalam bilik darjah yang bermatlamatkan persediaan menghadapi peperiksaan telah menjadi satu budaya pendidikan di negara kita. Sebagai persoalannya, apakah persediaan-persediaan yang sepatutnya diaplikasikan oleh pelajar untuk menghadapi pentaksiran yang telah disediakan?
1.1
PERSEDIAAN SEBELUM PENTAKSIRAN
Antara persediaan yang perlu dilakukan sebelum menghadapi pentaksiran adalah sesi soal jawab di dalam kelas perlulah diperkasakan. Hal ini demikian kerana seperti yang diketahui, sesetengah pelajar memilih bertindak untuk mendiamkan diri mengenai ketidakfahaman mereka kerana berasa malu untuk bertanya. Antara senario lain yang mungkin berlaku pula adalah kurangnya tumpuan pengajar untuk mengajukan soalan kepada pelajar kerana mereka beranggapan pelajar faham sepenuhnya terhadap pengajaran mereka. Justeru itu dalam hal ini pelajar perlulah memberikan cadangan kepada pengajar untuk mengadakan sesi soal jawab atau soalan tutorial sebelum tamatnya waktu kuliah. Antara objektif sesi ini berlangsung adalah untuk mengenal pasti sedalam mana kefahaman pelajar dan mengukuhkannya serta membetulkan mana-mana kefahaman yang kurang tepat. Pengajar juga dapat menghuraikan isi-isi penting dalam sesuatu topik yang perlu ditekankan terutamanya topik yang lazim ditanya dalam peperiksaan akhir.
Seterusnya menurut Mohamad
Azhar Mat Ali dan Shahrir Jamaludin, antara persediaan lain sebelum pentaksiran
yang kurang ditekankan oleh pelajar ialah pentaksiran kendiri dan rakan sebaya.
Pentaksiran tersebut merupakan salah satu cara untuk pelajar menilai tugasan
rakan dan mengenal pasti kelemahan mereka sebelum melalui pentaksiran sebenar
oleh pengajar. Melalui kaedah ini pelajar akan bertukar-tukar pandangan serta
mencetuskan idea baharu sebagai tujuan pembaikan tugasan yang mereka telah
lakukan. Kelebihan pentaksiran rakan sebaya juga akan membuka ruang untuk
pelajar saling membantu dan berdiskusi dalam usaha mendapatkan markah yang
paling optimum semasa ditaksir oleh pensyarah. Oleh itu, sebarang kemusykilan
atau pendapat yang bercanggah bolehlah dikemukakan kepada para pengajar untuk
mengelakkan kegagalan semasa dalam pentaksiran nanti.
Selain itu, para pelajar
juga haruslah sentiasa membiasakan diri untuk membuat ulang kaji sebagai
persediaan sebelum pentaksiran. Hal ini demikian kerana majoriti pelajar
bersikap suka bertangguh untuk mengulang kaji sehingga saat-saat akhir ketibaan
musim pentaksiran. Semasa dalam kelas atau kuliah, para pelajar sepatutnya
cakna untuk mengambil dan membuat nota kerana ia dapat dijadikan sebagai
rujukan tambahan semasa mereka mengulang kaji atau dalam proses menyiapkan
kerja kursus. Sehubungan dengan perkara itu, para pelajar perlulah
mendisiplinkan diri untuk membuat ulangkaji dengan menetapkan jadual belajar
yang tersendiri. Suasana mengulang kaji juga haruslah kondusif seperti tidak
terlalu panas dan tidak pula terlalu selesa seperti di atas katil untuk
mengelakkan tumpuan mudah hilang dan cepat mengantuk. Perpustakaan merupakan
salah satu tempat terbaik untuk mengulang kaji kerana keadaan yang senyap dan
mudah untuk mencari rujukan. Fikiran dan emosi juga perlulah berada dalam
keadaan stabil dan tenang misalnya bukan dalam keadaan lapar atau sedih kerana
ia akan mengganggu konsentrasi semasa mengulang kaji.
Antara persediaan lain sebelum
menghadapi pentaksiran adalah dengan membuat latihan pengukuhan dalam subjek
yang lemah. Para pelajar boleh mengambil insiatif dengan menjawab himpunan
soalan-soalan lepas atau merujuk senior yang berpengalaman kerana kebiasaanya
bentuk soalan lebih kurang sama setiap tahun. Jika terdapat soalan yang tidak
dapat menemui jalan penyelesaian, mereka perlu merujuk kepada rakan atau
pensyarah untuk meminta pendapat mereka. Meninggalkan soalan dengan kosong
bukanlah jalan yang terbaik kerana ia seolah-olah membiasakan mereka untuk
tidak berusaha pada soalan aras tinggi semasa dalam peperiksaan nanti. Semasa
membuat latihan, pelajar perlu melatih diri untuk membuat rangka jawapan
sebelum menulis. Perkara ini penting misalnya untuk mendidik mereka dalam
penulisan esei kerja kursus serta sebagai panduan agar isi yang ditulis nanti
tidak terpesong jauh dari arahan soalan.
1.2 PENUTUP
Kesimpulan
berdasarkan isi di atas, dapat difahami bahawa terdapat pelbagai cara untuk mempersiapkan
diri menghadapi pentaksiran di institusi pengajian. Persis mutiara kata “sediakan payung sebelum hujan,” persediaan
sebelum pentaksiran boleh diibaratkan sebagai satu persiapan diri sebelum kita
dihantar ke medan perang. Justeru itu, para pelajar sangat diharapkan agar
membuat perancangan belajar yang terbaik kerana jika kita gagal untuk
merancang, kita sebenarnya merancang untuk gagal.
|